Saturday, March 26, 2011

Sengketa Jepun-China untungkan kuasa luar

TIDAK hanya Malaysia dan Indonesia, negara berjiran Jepun dan China juga acap kali mengalami pasang surut dalam hubungan diplomatik antara kedua negara disebabkan perebutan pulau.Negara berjiran ini tidak mempunyai perbatasan darat, sebaliknya hanya dipisahkan oleh pulau-pulau yang berselerakan di Laut China Timur. Ini menyebabkan banyak pulau di perairan tersebut gagal dibuktikan pemilikan negaranya seperti yang berlaku ke atas sebuah pulau yang terletak 190 kilometer ke timur Taiwan.

Pulau yang menjadi rebutan tiga negara itu dikenali sebagai Senkaku di Jepun, Diayou (China) dan Tiaoyutais (Taiwan). China dan Jepun pernah hampir berperang kerana berebutkan pulau ini pada 1974.
Pulau itu kembali membuatkan hubungan Jepun dan China tegang akibat penahanan nelayan China oleh polis marin Jepun awal bulan ini. Meskipun kesemua 14 nelayan itu sudah dibebaskan, namun ia tidak cukup meredakan kemarahan Beijing yang menuntut Tokyo memohon maaf.

Begitupun, Tokyo menolak berbuat demikian kerana beranggapan pihaknya mengambil tindakan yang tepat dalam mempertahankan kedaulatan wilayah mereka. Sengketa ke atas pulau seluas kira-kira tujuh kilometer persegi yang terletak sekitar 190 kilometer di timur Taiwan itu merupakan tinggalan sejarah berabad-abad lamanya antara Jepun dan China.Taiwan pula ikut serta dalam perebutan itu kerana tidak mengakui bahawa ia sebahagian daripada China. Begitu pun jika peta navigasi dunia dirujuk, wilayah yang kaya dengan sumber minyak, gas, galian dan hasil laut itu lebih kepada milik China.Malah peta lama Jepun pada 1780-an juga memasukkan pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah China. Tuntutan Jepun ke atas pula tersebut hanya bermula pada 1895 ketika negara itu merampas wilayah Taiwan.

Bagaimanapun sehingga kini, kedua-dua negara tidak pernah mengemukakan tuntutan ke atas pulau itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), meskipun ia sering menjadi senjata survival politik di kedua-dua negara. Ada sebab lain mengapa China selesa untuk membiarkan isu perebutan pulau itu berada dalam status quo seperti ketika ini berbanding membawanya ke ICJ. Paling utama negara itu tidak pernah meyakini keputusan ICJ kerana yakin AS tetap memainkan peranan dalam mengatur keputusannya.Keterlibatan AS semakin ketara melihat kepada kesungguhan negara itu untuk campur tangan dalam isu perebutan wilayah di rantau ini. Ia termasuk dalam kes kepulauan Spratley dan Paracel di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh Vietnam, Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Bagaimanapun, kehadiran AS di rantau ini tidak berpihak di sebelah China, sebaliknya lebih akrab dengan Jepun. Sebagai pengimbang kuasa, China pula berbaik-baik dengan Rusia. Kerana itu, kebanyakan penganalisis antarabangsa menilai perebutan pulau di wilayah ini bukan hanya melibatkan negara-negara Asia, sebaliknya turut membabitkan kuasa besar dunia lain terutamanya AS.

Dalam isu pulau yang menjadi rebutan antara Jepun dan China misalnya, Washington bakal mendapat kelebihan daripada kedudukan pangkalan tentera udara mereka di Pulau Okinawa, Jepun. Pangkalan udara itu berdepan kemungkinan akan ditutup ekoran bantahan besar-besaran rakyat Jepun yang terancam keselamatan dan sosial kesan daripada pembukaannya.

Penutupan itu akan merugikan AS yang sejak sekian lama menjadikannya lokasi memantau aktiviti perkembangan senjata nuklear Korea Utara. Pangkalan itu juga merupakan kawasan strategik bagi Washington memantau perkembangan ketenteraan terutama kehadiran Rusia di rantau sebelah Asia.
Dengan konflik yang semakin memanaskan hubungan Beijing-Tokyo ketika ini, Washington boleh memberi jaminan akan menyerang mana-mana pihak yang cuba mengancam Jepun menerusi pangkalan tentera udara di Pulau Okinawa itu. Lebih daripada itu, keterlibatan AS dalam isu tersebut kerana terikat dengan perjanjian keamanan dengan Jepun yang memerlukan negara berkenaan mempertahankan wilayah yang diakui oleh negara matahari terbit itu.

Malah, Pulau Senkaku juga termasuk dalam perjanjian penyerahan semula Pulau Okinawa daripada AS kepada Jepun pada 1972 yang harus ditadbir oleh Jepun. Dari sudut lain, sokongan AS terhadap Jepun juga kerana kebimbangan negara itu terhadap usaha China menjadi negara militer terkuat dunia.

China sejak beberapa tahun kebelakangan ini menambah perbelanjaan bagi pertahanan iaitu sebanyak 14.9 peratus pada 2009 dan 10 peratus lagi pada 2010. Ia digunakan bagi membeli teknologi persenjataan moden seperti pesawat tempur dan kapal selam. Kebanyakan persenjataan moden itu pula dibekalkan oleh Rusia.
Lebih membimbangkan AS juga ialah China turut mempunyai kemampuan teknologi nuklear yang tidak banyak diketahui oleh masyarakat dunia.

Sejak kali pertama menjalankan ujian senjata nuklear pada 1964, tidak ada rekod yang jelas mengenai perkembangan senjata nuklear negara itu. Sehinggakan ada yang meyakini, China ketika ini mempunyai sebuah pangkalan aktiviti senjata nuklear bawah laut di selatan negara itu yang dibangunkan secara rahsia. Kesungguhan AS berdiri di belakang Jepun juga adalah sebagai tanda protes ke atas China dalam beberapa isu terutamanya pendirian Beijing berhubung isu senjata nuklear Korea Utara.

Selaku negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), AS mengharapkan China supaya lebih tegas dan berkeras dengan Korea Utara dalam isu senjata nuklear tersebut.

Namun China mempunyai pandangan tersendiri dan berpendapat perkembangan aktiviti nuklear Korea Utara hanyalah satu proses tawar-menawar dalam mengimbangi kuasa terutamanya dengan Korea Selatan.
Faktor ekonomi juga membuatkan AS tidak betah berdiam diri dalam apa jua perkara yang melibatkan China. Bukan rahsia lagi kekuatan ekonomi China ketika ini sedang mengatasi AS dan negara Eropah lain. Ini akan menyisihkan AS sebagai kuasa besar ekonomi dunia dan memberikan China kuasa baru untuk memainkan peranan mereka di rantau Asia.

Kebangkitan ekonomi China yang begitu mendadak itu sebenarnya tidak hanya dicemburui AS, malah Jepun juga mula rasa terancam. Ketika ini, kedudukan Jepun sebagai kuasa ekonomi utama di rantau Asia semakin digantikan oleh China sedikit demi sedikit dan perkara ini juga menjadi sebab mengapa negara itu tidak boleh bersahabat dengan China.

No comments: