Monday, May 12, 2014

Perlukah DRON dalam perang?

Permintaan global untuk Kenderaan Udara Tanpa Juruterbang (UAV) atau lebih dikenali dengan dron, semakin meningkat ketika pasukan tentera melabur dalam sistem baru bagi meningkatkan keupayaan untuk melakukan pengawasan dan serangan tanpa perlu meletakkan nyawa anggotanya dalam bahaya.


Didorong oleh peningkatan dalam bajet pertahanan, perbelanjaan tahunan global terhadap UAV diramalkan meningkat dua kali ganda daripada AS$5.9 bilion (RM17.7 bilion) kepada AS$11.3 bilion (RM33.9 bilion) pada dekad akan datang, menurut syarikat kaji selidik pertahanan yang berpusat di Amerika Syarikat, Teal Group.


Negara rantau Asia Pasifik adalah pembeli kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.


“Hampir semua negara di rantau itu berusaha untuk mendapatkan dron atau membuatnya sendiri. Negara itu termasuk Thailand, India, Singapura, Jepun, Australia, Korea dan sebagainya,” kata Jon Grevatt dari majalah IHS Jane’s Defence Weekly.


Dengan hampir separuh daripada penduduk dunia mendiaminya, Asia juga menjadi kawasan berpotensi mencetuskan peperangan, dari Korea Utara ke Laut China Selatan, Asia Selatan dan Afghanistan.


“UAV sudah menjadi satu keperluan pada era ini jika anda ingin menang dalam peperangan dan pada masa sama jika anda tidak mahu melihat kemalangan jiwa yang terlalu banyak,” kata Ketua Bahagian Dron di Industri Angkasa Lepas Israel (IAI), Tommy Silberring.


IAI yang menjadi perintis pembangunan teknologi UAV untuk tentera Israel pada 1970-an, adalah satu daripada beberapa syarikat pembuat kelengkapan pertahanan yang mempamerkan dron pada Pertunjukan Udara Singapura minggu lalu.


Penggunaan dron berbanding pesawat yang dikendalikan manusia dapat membantu negara yang terbabit dalam peperangan pelbagai hala dan ia lebih diterima orang awam, kata Silberring, bekas pegawai berpangkat kolonel dalam tentera udara Israel.


“Anda sudah pasti tidak mahu memberitahu rakyat negara anda bahawa anda mendedahkan nyawa askar anda untuk sebuah negara lain,” katanya kepada AFP di pertunjukan udara itu.


Dron memainkan peranan penting dalam beberapa konflik terbaru. Amerika Syarikat banyak bergantung kepadanya untuk menyerang sasaran di kawasan yang dikuasai suku kaum di Pakistan yang juga menjadi kubu kuat Taliban dan aktivis al-Qaeda.


Dron Amerika Syarikat juga digunakan dalam campur tangan yang diketuai Nato di Libya tahun lalu.


Menurut IAI, dron yang dikeluarkannya, Heron UAV digunakan oleh 18 pelanggan di seluruh dunia, termasuk Tentera Udara Singapura yang mempamerkan dron miliknya, Heron 1, pada pertunjukan itu.


Heron TP, dron terbesar dalam pasukan tentera Israel dengan rentang sayap sama dengan pesawat penumpang Boeing 737, dipercayai mampu terbang sejauh lebih 7,400 kilometer.


Di Amerika Syarikat, syarikat tempatan seperti General Atomics dan Northrop Grumman dijangka memperoleh faedah daripada rancangan terbaru Pentagon untuk menambah jumlah pesawat yang ada sekarang, iaitu sebanyak 7,494 kepada 30 peratus lagi.


Menurut laporan yang dibentangkannya kepada Kongres pada Januari lalu, tentera Amerika Syarikat dijangka membelanjakan hampir AS$32 bilion (RM96 bilion) untuk UAV baru dalam tempoh lapan tahun akan datang.


“Dalam masa beberapa tahun lagi, kita sudah pasti akan menyaksikan pertumbuhan agresif sistem pesawat tanpa juruterbang digunakan oleh tentera Amerika di seluruh dunia,” kata Komander Robert Moss, pengarah serantau di Pejabat Amerika Syarikat di Institut Kajian Tentera Laut Global.


“UAV boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, dari kerja pengawasan, mengumpulkan data atmosfera hingga ke serangan,” katanya.


Permintaan yang meningkat secara mendadak itu mendorong syarikat pembuat di Asia untuk memasuki pasaran yang selama ini dikuasai syarikat Israel dan Amerika Syarikat.


“Kami ingin turut serta dalam industri pesawat tanpa juruterbang tetapi kami bersikap memilih kerana sudah terlalu banyak syarikat terkemuka dalam industri itu,” kata Patrick Choy, Naib Presiden Pasaran Antarabangsa ST Engineering, sebuah syarikat industri pertahanan yang berpusat di Singapura.


ST Engineering melancarkan Skyblade 360, edisi terbaru dalam siri UAV mini pada pertunjukan itu.


Skyblade III, dron yang dikeluarkan sebelum Skyblade 360 digunakan oleh tentera Singapura untuk menyediakan bantuan dari segi pengawasan untuk tentera darat republik itu.


Menurut Choy, ST Engineering tidak berhasrat untuk bersaing dengan syarikat Israel dan Amerika Syarikat bagi membina UAV yang lebih besar.


“Kami mahu membabitkan diri dalam bidang taktikal. Dengan ini kami dapat membantu unit kecil menerusi teknologi UAV kami,” “Anda tidak akan dapat meyakinkan pelanggan untuk membeli UAV yang besar yang memerlukan teknologi bantuan seperti satelit kecuali anda adalah kuasa besar dunia,” katanya.


India juga bersikap sederhana mengenai dronnya, Rustom-1 yang turut menyertai pameran perdagangan itu.


“Keutamaan kami ialah untuk memajukan keupayaan Rustom yang ada sekarang. Kami tidak mempunyai rancangan untuk mengeksportnya,” kata Parimal Kumar, Sibbering tidak bimbang dengan perkembangan syarikat pembuat dron Asia. Dia sebaliknya yakin permintaan terhadap dron Israel akan terus meningkat, “Anda tidak akan dapat bersaing dengan kami. Kami melihat 20 tahun ke depan untuk memastikan kami mempunyai produk yang orang lain tak ada di pasaran,” katanya.

No comments: