Friday, March 25, 2011

Apakah Wajar Elaun Pedalaman Bagi Guru Ditambah?

Bagi guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman, mereka pastinya sangat gembira dan berterima kasih. Jika selama ini sekolah mereka yang sepatutnya menerima elaun pedalaman sebanyak RM500 dan RM1000 mungkin akan menerima elaun RM750 atau RM1250. Pada pandangan saya juga langkah menambah elaun sedia ada sememangnya sangat wajar dan tindakan kementerian (khususnya Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan – BPPDP yang mengkaji tentang pelaksanaan elaun baru ini) patut dipuji. Ini menunjukkan yang kementerian sangat mengambil berat guru-guru yang berkhidmat di pedalaman  serta berusaha merapatkan jurang perbezaan pencapaian pelajar bandar dan luar bandar dengan cara menarik minat lebih ramai guru berkhidmat di kawasan berkenaan.



Dari sudut yang lain pula perlu juga difikirkan semula. Siapa yang sepatutnya perlu diberi perhatian utama. Guru, murid atau kedua-duanya? Setahu saya pendidikan adalah sebuah institusi yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat. Skop utamanya untuk melahirkan individu dan modal insan yang dikehendaki selari dengan Matlamat Pendidikan Negara. Persoalannya, adakah semangat tinggi guru yang mengajar di pedalaman sudah cukup untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari semua segi? Contohnya, guru menerima elaun pedalaman RM1500 sebulan. Elaun tersebut dapat digunakan untuk membeli kenderaan pacuan 4 roda untuk sampai ke kawasan yang jauh, membeli bot  untuk sampai ke pulau, menyewa rumah berhampiran sekolah, membeli genset untuk bekalan elektrik di rumah atau membeli peralatan pengajaran dan pembelajaran untuk kegunaannya. Hal itu tentu akan meningkatkan semangat guru mengajar.

Akan tetapi pelajar terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah kerana terpaksa belajar di kelas yang usang dan tiada sebarang kemudahan, duduk di kerusi yang hampir patah serta lantai kelas yang berlubang. Terpaksa meredah hutan dan semakan beberapa kilometer untuk sampai ke sekolah. Atau terpaksa ponteng sekolah kerana membantu ibu bapa menebas hutan untuk bercucuk tanam? Adakah semangat mereka sama dengan semangat guru berkenaan? Bolehkah mereka belajar dengan baik? Atau, biarkanlah mereka begitu asalkan guru di pedalaman mendapat keselesaan!

Seperkara lagi, saya juga sempat membaca beberapa komen pembaca di Berita Harian tentang pengumuman ini. Ada yang berpendapat yang pemberian elaun ini akan melemahkan semangat guru-guru lain yang bukan bertugas di pedalaman. Saya tidak menyangkal mungkin benar seperti pendapat pembaca berkenaan.
Sebelum menimbulkan isu ini mungkin ada baiknya saya sentuh sedikit beberapa kriteria yang jadi penentu untuk pemberian elaun ini. Kalau tidak silap saya, antaranya termasuklah: Jarak daripada Pejabat Pelajaran Daerah/Pekan Pentadbiran utama, jalan perhubungan, kemudahan asas (air dan elektrik), kemudahan perubatan (klinik/hospital) dan prasarana lain di kawasan sekolah (sila betulkan jika saya silap). Jadi, isu tidak puas hati itu mungkin terjadi disebabkan beberapa perkara. Biar saya kemukakan dalam bentuk persoalan:
  • Jika jarak pejabat pengurusan yang diambil kira, berapa kerap sebenarnya guru perlu berurusan di pejabat pelajaran atau pejabat pentadbiran daerah. Adakah mereka perlu berurusan setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali?
  • Bagaimana dengan guru yang mengajar di sekolah bukan pedalaman, tetapi terpaksa berulang-alik sejauh 100km (2 hala) kerana tiada kemudahan rumah guru atau rumah sewa berhampiran sekolah berkenaan? Adakah elaun perumahan sebanyak RM180 atau RM250 memadai?
  • Bagaimana dengan guru yang bukan mengajar di pedalaman, tetapi kemudahan infrastruktur sekolah dan kemudahan asas lain tiada kerana sekolah itu juga berstatus luar bandar?
  • Bagaimana dengan guru yang memang berasal dan tinggal di kawasan pedalaman tu. Cukup selesa di kampung dan rumah sendiri, kemudian mendapat elaun sebanyak RM1500 seorang?

Mungkin juga persoalan-persoalan inilah yang menyebabkan guru-guru dan kakitangan awam lain tidak berpuas hati dengan pengumuman cadangan tersebut. Kenapa perubahan elaun pedalaman sedia ada yang kadarnya RM500 – RM1500 akan diluluskan sedangkan elaun perumahan yang sudah lama dituntut masih juga tidak dinaikkan? Cuba fikirkan, guru-guru yang berasal dari Sabah (dan bertugas di Sabah) hanya menerima elaun perumahan sebanyak RM180-RM250, manakala guru-guru dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia menerima antara RM730-RM830 sebulan. Bayangkan seorang guru dari Tawau yang ditempatkan di Pitas hanya menerima elaun sebanyak RM180 sebulan tetapi terpaksa membayar sewa rumah dengan kadar RM400 – RM700 sebulan. Kadar sewa itu sama rata kepada semua orang tanpa mengira dia berasal dari mana.

Bagaimanapun satu perkara yang guru-guru atau kakitangan awam yang lain perlu tahu. Elaun itu sebenarnya bukan elaun yang baru. Ia adalah elaun pedalaman sedia ada yang diselaraskan semula sesuai dengan keadaan sekolah. Saya cukup jelas dengan perkara ini sebab pada tahun lepas saya terlibat secara langsung membawa pegawai BPPDP ke sekolah-sekolah pedalaman di daerah saya, memantau sekolah-sekolah tertentu bagi menentukan semula kategori yang sesuai untuk sekolah berkenaan. Jadi pada masa itulah saya dimaklumkan secara tidak langsung tentang akan ada perubahan pada kategori elaun pedalaman tersebut.

Memang ada rasionalnya pemberian kadar elaun yang baru ini. Saya secara peribadi cukup bersetuju dengan perkara itu. Bukan apa, sebelum ini saya sendiri pernah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan kerajaan memberikan elaun tersebut hanya kepada sekolah-sekolah tertentu sedangkan sekolah lain yang berstatus luar bandar juga mempunyai kekurangan insfrastruktur yang cukup teruk. Bahkan saya pernah berkata, jika keselesaan jalan raya yang diberi perhatian, mungkin ada baiknya guru mengajar di jalan raya sahaja… sebab bilik darjah di sekolah luar bandar terlalu daif dan tidak selesa untuk guru dan pelajar”. Tapi apabila saya berpeluang menjejakkan kaki sendiri di sekolah-sekolah pedalaman untuk tujuan pemantauan, barulah mata saya terbuka luas. Di situlah baru saya faham bagaimana kesengsaraan guru yang bertugas di tempat tu.

Saya tidak pasti bagaimana tanggapan orang lain. Tapi bagi saya sendiri, walaupun saya berasal dari kampung yang biasa menggunakan air perigi sebagai sumber air utama, tapi saya tidak dapat bayangkan bagaimana guru-guru di pedalaman kadang-kala terpaksa menggunakan air dari sungai ‘milo’ untuk mandi dan mencuci pakaian. Manakala sebahagiannya pula terpaksa mendirikan dapur atas usaha sendiri, berdindingkan zink yang dikutip entah dari mana. Saya ingatkan hidup saya di kampung selama ini susah, rupanya ada orang lain yang lebih susah daripada saya.

No comments: