Saturday, March 26, 2011

Perbelanjaan perang AS?

TATKALA kesengsaraan dihadapi rakyat Jepun yang dilanda ombak besar tsunami dan gempa bumi masih segar dalam ingatan masyarakat dunia, masyarakat antarabangsa dikejutkan pula dengan petaka baru iaitu peperangan di Libya.
Amerika Syarikat (AS) dengan gelaran 'Polis Dunia' bersama sekutunya melancarkan serangan bertali arus ke atas Libya dalam usaha menjatuhkan Presidennya, Muammar Gaddafi.
Senario tersebut bukanlah kali pertama menyaksikan Polis Dunia itu bertindak sebagai 'pengaman' dalam usaha memastikan keamanan dunia dan negara diserang hidup bebas daripada pemerintah kuku besi.
Antara beberapa negara lain yang pernah menyaksikan AS dan sekutunya bertindak sebagai Polis Dunia termasuklah Jepun, Vietnam, Afghanistan, Iraq dan banyak lagi.
Serangan ke atas Libya mula dilakukan pada 18 Mac lalu, selepas Polis Dunia mendapat tiket daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab yang meluluskan resolusi tindakan ketenteraan bagi menghalang Gaddafi membunuh rakyatnya yang memberontak.
Resolusi yang diluluskan dengan sokongan AS, Perancis dan Britain itu turut membabitkan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya dan membenarkan penggunaan tentera darat bagi melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi.

AS dan sekutunya berjaya menjatuhkan dan membunuh Presiden Saddam dalam serangan pada tahun 2003.


Perbelanjaan perang AS
Campur tangan Barat terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003 itu telah mengakibatkan Libya dibedil secara besar-besaran melalui laut dan udara untuk melumpuhkan pentadbiran Gaddafi.
Bagaimanapun, kerakusan tentera bersekutu dalam menyerang Libya terutama AS bakal menyaksikan operasi serangan mencecah sehingga berbilion ringgit dan memerlukan Pentagon memohon dana kecemasan daripada Kongres.
Pada hari pertama Operasi Odyssey Dawn, AS membelanjakan lebih AS$100 juta (RM303 juta) hanya untuk peluru berpandu yang dilancarkan di Libya.
Tentera AS yang mengetuai serangan tersebut turut mengepam jutaan ringgit lagi untuk melumpuhkan tapak pertahanan udara dan darat di pesisir pantai Libya.
Jurucakap Pentagon bagaimanapun menjelaskan, mereka tidak boleh menganggarkan kos secara rasmi sehingga kini. Pentadbiran Barack Obama mengatakan operasi yang dilancarkan di Libya menggunakan peruntukan sedia ada iaitu peruntukan perbelanjaan peperangan AS$150 juta (RM454 juta).
"Kami tidak bercadang memohon peruntukan tambahan buat masa ini," kata jurucakap Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, Kenneth Baer.
Bagaimanapun, Pentagon mungkin terpaksa meminta Kongres untuk menambah peruntukan kewangan mereka satu masa nanti. Beberapa penggubal undang-undang juga berpendapat, AS tidak mampu untuk campur tangan di Libya.
"Bukan sahaja serangan ketenteraan di Libya tidak mendapat kelulusan Kongres seperti mana termaktub dalam perlembagaan AS tetapi, melibatkan kos yang tinggi," kata ahli Kongres Parti Republikan yang mewakili negeri Michigan, Justin Amash.



"Kita tidak perlu membazir wang yang sememangnya tiada untuk sesuatu peperangan tidak diperlukan," katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Pusat Strategik dan Taksiran Belanjawan, Zack Cooper, berkata, perbelanjaan penguatkuasaan zon larangan terbang sahaja boleh mencecah sehingga AS$800 juta dan AS$100 juta (RM302 juta) lagi untuk mengekalkannya.
"Kos semakin meningkat. Harga bagi menggantikan jet pejuang yang terhempas Selasa lalu dengan model terbaru lebih canggih boleh mencecah sehingga jutaan ringgit.
"Bahkan, harga bahan api setiap kali jet pejuang ke udara menelan kos sebanyak AS$10,000 (RM30,280) bagi setiap jam penerbangan," kata Cooper.
Askar AS di bumi asing
Menyingkap kembali sejarah negara kuasa besar yang bertindak sebagai Polis Dunia, dahulunya tugas tersebut lebih dahulu dipimpin Britain yang mengepalai Kuasa Berikat yang turut dianggotai Perancis, Rusia, China dan Amerika Syarikat.
Bahkan, semasa Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, pada asalnya AS mahu kekal sebagai negara neutral. Hanya dalam Perang Dunia Kedua yang tercetus pada 1939, AS mula melibatkan diri secara aktif Kuasa Berikat untuk berperang dengan Kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali.
Perang Dunia Kedua menjadi antara peperangan yang paling memakan belanja paling tinggi kepada AS. Pada tahun 1942, AS menghantar jutaan anggota tentera dan ribuan pesawat perang dan kereta kebal ke Britain. Bagaimanapun, dua peristiwa yang tidak mungkin dilupakan sejarah, apabila tindakan Jepun membedil Pearl Harbor, membangkitkan kemarahan AS yang kemudian membalas dengan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.
Taring AS sebagai Polis Dunia selepas itu semakin menjadi-jadi. Antara peperangan besar yang diketuai AS di bumi asing termasuklah dalam Perang Vietnam yang berlangsung di antara tahun 1957 hingga 1975.

MESKIPUN tidak mendapat sokongan sekutu rapatnya Britain, AS tetap melancarkan serangan ke bumi Vietnam pada tahun 1957.


Dalam peperangan itu, AS mengetuai negara lain seperti Australia, New Zealand, Thailand, Korea Selatan dan Filipina. Menariknya, sekutu AS, Britain dan Kanada menolak untuk bersama dalam perang tersebut.
Selepas lebih 57,000 orang terbunuh AS dan sekutunya keluar dari Vietnam pada tahun 1973 tanpa kemenangan yang jelas. Ia antara perang yang telah memalukan AS di mata antarabangsa.
Konflik Perang Teluk pada tahun 1990 menyaksikan penglibatan besar-besaran AS apabila mengepalai 34 buah negara untuk berperang dengan Iraq.
Ketika itu, dunia mahu menyelamatkan Kuwait yang diserang pasukan Iraq.
Beberapa tahun selepas itu, kemarahan AS nampaknya tidak surut ke atas Iraq atau lebih tepat lagi Presidennya, Saddam Hussein. Menggempur Iraq buat kali kedua pada tahun 2003, AS bukan sahaja berjaya menumbangkan Saddam bahkan, menamatkan riwayat presiden itu.
Yang pasti, dengan rekod 'cemerlang' AS sebagai Polis Dunia, nampaknya negara itu akan terus angkuh memikul tanggungjawab itu. Persoalannya, sejauh manakah ikhlasnya AS sebagai Polis Dunia?

No comments: