Fakta di dalam Blog saya ini, kebanyakkan dipetik dari Sumber yang benar dan asli. Ia bukanlah hasil Idea diri saya sendiri, tapi ia merupakan perkongsian bersama.
Saturday, March 26, 2011
Perebutan Pulau antara Negara-Negara?
HUBUNGAN China dan Jepun yang dibayangi konflik selama berdekad-dekad kembali tegang baru-baru ini.
Ini ekoran insiden penahanan kapten dan kelasi bot nelayan China yang berlanggar dengan dua kapal pengawal pantai Jepun di Laut China Timur dekat sebuah pulau yang menjadi rebutan antara kedua-dua negara. Walaupun kapten dan kelasi kapal China itu telah dibebaskan, ketegangan dua hala masih berlarutan dengan Beijing menuntut Tokyo agar meminta maaf serta memberi pampasan. Tuntutan itu bagaimanapun ditolak Tokyo.
LATAR BELAKANG PEREBUTAN Ketegangan terbaru ini tertumpu kepada pemilikan kepulauan yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China. Jepun dan China masing-masing mendakwa pulau berkenaan milik mereka. Di tanah besar China, insiden pada 7 September lalu telah membangkitkan kemarahan rakyat China yang mengadakan demonstrasi membantah tindakan Jepun menahan bot nelayan China itu. Seminggu kemudian, Jepun membebaskan 14 anak kapal bot terbabit, tetapi terus menahan kapten bot itu, Encik Zhan Qixiong, atas tuduhan menghalang tugas pihak berkuasa Jepun semasa perlanggaran itu. Tindakan Jepun itu telah membangkitkan sentimen anti-Jepun dan mendorong China memutuskan hubungan peringkat tinggi dengan negara matahari terbit itu. Setelah menerima tekanan kuat dari China, Jepun kemudian turut membebaskan kapten bot nelayan itu Sabtu lalu. Hubungan antara China dan Jepun mempunyai kaitan dengan sejarah dan konflik selama berdekad-dekad sejak Perang Pertama China-Jepun (1894-95) lagi. Ini diikuti dengan tindakan Jepun menawan Manchuria pada 1931 dan seterusnya Perang Kedua China-Jepun (1937-1945) sehingga Perang Dunia Kedua, yang membawa kepada penaklukan China oleh Jepun. Walaupun, kedua-dua negara mula menjalin hubungan baik melalui Perjanjian Damai dan Persahabatan pada 1978, sentimen anti-Jepun di China tidak luput. Lantas, sebarang insiden kecil sekalipun boleh bertukar menjadi perbalahan besar antara kedua-dua negara. Maka itulah yang terjadi apabila insiden penahanan bot nelayan China kemudian bertukar menjadi pertikaian diplomatik.
CHINA LEBIH BERANI Insiden terbaru ini dilihat sebagai cara China menonjolkan 'kekuatan' di rantau Asia. Rantau Asia kini berdepan dengan China yang lebih maju dan kaya dengan ekonominya berkembang pesat. Antara 2010 dengan 2020, ekonomi China akan tumbuh lebih seganda daripada AS$5.1 trilion ($6.71 trilion) kepada AS$10.5 trillion. Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) yang lebih besar juga bermakna China akan mempunyai tentera yang lebih besar dan mahu masyarakat antarabangsa menghormatinya. Perangkaan awal menunjukkan China telah mengatasi Jepun untuk menjadi ekonomi kedua terbesar dunia. Dengan status ekonominya lebih kukuh, sebarang perselisihan diplomatik yang kecil mempunyai potensi untuk meletup menjadi satu krisis yang besar. 'Buat masa ini, China dengan terang dan nyata telah menyertai negara kuasa besar dunia dan tentunya akan memikul peranan kepimpinan di persada dunia sebagai sebuah kuasa besar,' tulis seorang pengamat politik China dalam buku terbarunya. Peranan baru itu bagaimanapun membentangkan dilema di China. Seperti kata pengarah pengajian China di Sekolah Paul H. Nitze bagi Pengajian Antarabangsa Lanjutan di Washington D.C, Encik David Lampton: 'China belum dapat memutuskan bagaimana ia ingin menggunakan kuasa baru yang dimiliki dan ini meningkatkan lagi ketidakpastian rakan dialog asingnya. Ada alasan kuat mengapa Beijing tidak menyampaikan pendiriannya kepada dunia luar. Ini kerana terdapat perbahasan yang sedang berlaku dalam China sendiri tentang berapa kuat sebenarnya negara itu, bagaimana kuasa baru ini harus digunakan dan apa risiko yang dihadapi dengan lebih penglibatan antarabangsa.' Menurut pengamat politik, sebagai kuasa besar dunia, China mempunyai pendirian yang radikal berhubung wilayah dan sanggup menggunakan kekerasan bagi mempertahankan haknya ke atas wilayah yang menjadi pertikaian. Ini dapat dilihat dalam isu Taiwan yang dianggap sebagai wilayahnya. Begitu juga dalam isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan antara China dan sebahagian besarnya negara-negara Asean ke atas gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel.
PENGLIBATAN AMERIKA Apakah peranan Amerika Syarikat dalam isu ini ? Jepun dijangka memperbaiki hubungan dengan Washington dan mendekati negara-negara Asia lain, yang semakin berhati-hati dengan sikap Beijing yang semakin agresif. Tuntutan China terhadap kepulauan Spratly dan Paracel di Laut China Selatan telah ditegur oleh masyarakat antarabangsa baru-baru ini. Kededua kepulauan itu amat penting dari segi laluan laut dan kehadiran galian, terutama minyak dan gas. Selain China, Vietnam, Taiwan, Malaysia, Indonesia dan Brunei juga membuat tuntutan. Namun, China pantang ditegur. Cadangan Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, Julai lalu agar rundingan berbilang parti diadakan bagi menghuraikan pertikaian wilayah, dibidas oleh China yang menganggap kenyataan itu sebagai campur tangan luar. 'Perkara ini mungkin menunjukkan kepada semua pihak bahawa mereka perlu mengekalkan Amerika di sini... sebagai menyediakan keseimbangan terhadap kebangkitan China,' kata seorang profesor di Universiti Temple di Jepun, Encik Phil Deans. 'Mereka perlu melakarkan satu strategi. Bukan Jepun saja yang berdepan dengan tekanan daripada China sedang kuasa ekonominya berkembang,' kata Pengarah Eksekutif Forum Asia Jepun, Encik Nakamura. Pengarah Pusat Jepun Stanford di Kyoto, Encik Andrew Horvat, pula ditukil sebagai berkata ketegangan ini menunjukkan integrasi ekonomi saja tidak menjamin kemantapan. 'Insiden ini... telah membuktikan kepada Jepun bahawa secara strategik, mereka memerlukan hubungan keselamatan Amerika. Dan mereka perlu mengambil berat dalam bidang pertahanan, yang sejauh ini ia abaikan,' kata beliau.
HURAIAN TERBAIK China kini dilihat sebagai negara pembuli kerana terus menuntut agar Jepun meminta maaf serta membayar pampasan atas insiden penangkapan kapal nelayannya. Di Jepun, kerajaannya meminta agar rakyat negara itu bertenang walaupun ia dibidas oleh media setempat kerana 'tunduk' kepada tuntutan China supaya membebaskan kapten kapal itu. Pegawai kerajaan Jepun telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesan ekonomi yang timbul ekoran pertelingkahan ini. Dengan perdagangan dua hala mencapai 12.6 trilion yen ($198 bilion) antara Januari dengan Jun tahun ini - peningkatan 34 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu - kedua-dua negara digesa agar bertindak rasional dan menggunakan wadah diplomatik untuk mencari jalan keluar. Apa pun, penggunaan kekerasan dan tindakan ketenteraan harus dielakkan. Dalam konteks perebutan ke atas pulau Senkaku atau Diaoyu, Jepun dan China seharusnya perlu merujuk isu tersebut kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menyelesaikan pertikaian mereka ke atas pulau tersebut secara aman. Negara-negara lain yang mempunyai pertikaian wilayah dengan China juga digesa menghuraikan isu itu sejajar dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Setiap pihak harus percaya kekuatan senjata tidak akan dapat menyelesaikan sebarang isu antarabangsa, malah ia akan memanaskan lagi suasana sehingga sukar dihuraikan.
KEPULAUAN SENKAKU KEPULAUAN yang dipertikaikan dikenali dengan nama Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun. Gugusan lima pulau itu terletak 190 kilometer ke timur Taiwan dan berada di bawah pemerintahan Jepun. Ia terletak di tengah-tengah Taiwan dan Okinawa, dan lantas tuntutan serupa turut dibuat oleh Taiwan dan China. Gugusan kepulauan itu dikelilingi perairan yang mempunyai banyak ikan. Ia juga dipercayai kaya dengan sumber minyak. Kepulauan itu telah dijadikan tanda pengemudian oleh kelasi China seawal kurun ke-14. Pakar herba Cina juga pernah ke sana untuk mencari herba yang sukar dijumpai. Jepun telah mengilhak (annexed) kepulauan itu pada 1895, dengan berkata tiada negara lain yang membuat tuntutan rasmi ke atas keputusan itu. Langkah itu dibuat semasa perang Jepun-China, yang dimenangi Jepun. Selepas kalah dalam perang itu, China turut menyerahkan Taiwan dan kepulauan sekeliling kepada Jepun di bawah Perjanjian Shimonoseki. Empat daripada lima gugusan pulau itu dibangunkan secara swasta dengan keizinan kerajaan Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua, kepulauan Senkaku ditadbir oleh Amerika Syarikat sebelum diserahkan semula kepada Tokyo pada 1972. Untuk menguatkan lagi tuntutan Jepun ke atas kepulauan itu, Tokyo telah menyewa tiga daripada lima kepulaun itu daripada pemilik swasta, dengan harga AS$188,300 ($247,859) setahun sejak April 2002. Kontrak sewa itu dijadualkan tamat pada Mac tahun depan dan Tokyo bercadang untuk memperbaharuinya. Dengan menyewa tiga pulau itu yang dikenali sebagai pulau Kita Kojima, Minami Kojima dan Uotsurijima, Jepun berharap dapat mengelakkan pemilik pulau itu, Encik Yukihiro Kurihara, daripada menjualnya. Sejak pertengahan 1990-an, kapal ronda pantai Jepun telah mengusir bot nelayan China dan Taiwan daripada perairan kepulauan tersebut. Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Zhang Qiyue, berkata kepulauan Diaoyu merupakan wilayah negara itu sejak zaman purbakala.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment