APABILA terjadinya kebangkitan rakyat Mesir menentang Hosni Mubarak secara besar-besaran di Mesir, di Malaysia pula kedua-dua belah pihak iaitu parti yang memerintah dan pembangkang pastinya sama ada secara senyap-senyap atau terang-terang membuat perbandingan dan bertanya terdapatkah apa-apa persamaan ataupun perbezaan di antara kedua-dua buah negara.
Soalan pokok yang mahu dicari jawapan: Bolehkah apa yang terjadi di Mesir berlaku di Malaysia?
Secara pandangan mata kasar, beberapa persamaan memang ada.
Pertama, persamaan paling jelas adalah kedua-dua buah negara mempunyai penduduk majoriti beragama Islam. Bagaimanapun kalau berdasarkan laporan media yang tidak sering putus, faktor agama semata-mata bukanlah yang paling penting dalam mencetus kebangkitan rakyat Mesir.
Para penunjuk perasaan terdiri daripada orang Islam dan juga Kristian Koptik. Oleh itu, persamaan dari segi agama ini mungkin boleh dianggap sebagai tidak begitu relevan dalam usaha untuk menjawab soalan pokok yang dinyatakan di atas.
Kedua, tempoh pemerintahan rejim yang menjadi sasaran protes. Di sini ada persamaan dan juga perbezaan. Di Mesir, usia rejim Mubarak telah menjangkau tiga dekad sementara di Malaysia pula tampuk pemerintahan negara telah dipegang selama lebih lima dekad oleh parti yang sama iaitu Barisan Nasional/Perikatan, yakni sejak negara merdeka.
Sekiranya dipandang dari sudut ini, memanglah ada persamaannya. Bagaimanapun, di Malaysia orang yang memegang jawatan ketua eksekutif, iaitu perdana menteri, telah bertukar sebanyak lima kali dan tidak seperti Mubarak di Mesir yang terus menerus memerintah negaranya selama hampir 30 tahun.
Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, baru dua tahun memegang jawatan tersebut. Ini adalah satu perbezaan. Kemarahan dan kemuakan rakyat Mesir dapat ditumpukan kepada keperibadian Mubarak kerana dia telah begitu lama memerintah negara itu dan boleh dianggap punca segala kelemahan dan kesusahan masyarakat Mesir.
Adalah menjadi ‘open question’ ataupun soalan tiada berjawapan buat masa ini sama ada perkara yang sama boleh dikatakan terhadap Najib.
Ketiga, kepincangan masyarakat yang menjadi bahan dan sebab musabab protes. Di dalam hal ini, terdapat banyak persamaan di antara Mesir dan Malaysia.
Korupsi dan penyelewengan kuasa adalah isu yang mendapat perhatian dan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat, baik di Mesir, baik di negara ini. Dan ia bukanlah perkara baru dalam mencetus kemarahan rakyat. Amalan korupsi memang terdapat di kedua-dua buah negara. Janji pemerintah untuk membasmi korupsi secara serius jika tidak dikotakan pasti akan menambahkan kebencian rakyat. Apatah lagi sekiranya yang mengamal rasuah dan kronisma adalah pemerintah itu sendiri.
Di Mesir, institusi-institusi negara telah disalahgunakan untuk menjadi alat politik bagi memperkuatkan cengkaman kuasa rejim Mubarak. Badan-badan kerajaan seperti polis dan pasukan risikan dan keselamatan dalam negeri digunakan untuk menekan dan menindas mana-mana golongan dan anasir yang berani bersuara menentang rejim. Media massa di bawah kuasa rasmi rejim dan juga swasta dikawal untuk membendung suara dan mesej pihak yang membangkang kerajaan.
Di dalam aspek ini, sudah pasti di Malaysia, ada juga yang akan beranggapan dari segi korupsi tiada bezanya dengan Mesir. Cuma sejauh manakah amalan itu berlaku di Malaysia jika dibandingkan dengan Mesir.
Di Mesir, kadar pengangguran lepasan universiti yang tinggi juga telah dikatakan sebagai salah satu faktor penting dalam memulakan kebangkitan rakyat. Ini adalah kerana anak-anak muda merupakan golongan utama dan awal dalam menganggotai protes jalanan yang telah berlaku. Ekonomi negara itu yang tidak berkembang dengan kadar yang membolehkan peluang pekerjaan bertambah dan mencukupi bagi para lepasan universiti telah menjadi asas bagi ‘unfulfilled expectations’ atau harapan yang tidak dipenuhi di kalangan anak muda lepasan universiti.
Ada pemerhati yang menganggap faktor ini lebih penting dari kemiskinan rakyat dalam mencetus revolusi jalanan di Mesir. ‘Unfulfilled expectations’ di kalangan generasi muda terpelajar ini memberikan kesimpulan kepada mereka bahawa sekiranya perubahan atau reformasi masyarakat hendak dihidupkan, syarat utama yang perlu dipenuhi adalah perubahan rejim atau ‘regime change’.Adakah mirip-miripnya juga di Malaysia? Pengangguran lepasan universiti memang ada dan kebelakangan ini dikatakan seramai lebih 60,000 siswazah telah tidak mendapat pekerjaan, satu angka yang boleh juga dianggap tinggi. Bagaimanapun, adakah ini satu angka yang sudah mencecah tahap kritikal yang mana ‘unfulfilled expectations’ akan menjadi bahan untuk satu kebangkitan rakyat sama seperti apa yang telah dilihat di Mesir? Setakat ini, tiada tanda-tanda yang mengiyakan.
Selepas berbicara tentang persamaan yang mungkin ada di antara Mesir dan Malaysia, apa pula perbezaan yang dapat dikenalpasti?
Di Mesir, pilihan raya yang telah dijalankan rata-rata dipersoal dan dicurigai kredibilitinya, terutama sekali yang telah diadakan pada November dan Disember 2010. Di dalam pilihan raya itu, Mubarak telah diumumkan mendapat 97% undi sokongan dari para pengundi Mesir, satu keputusan yang tidak dipercayai oleh rakyat Mesir sendiri. Oleh sebab proses pilihan raya dianggap tidak boleh dipakai sebagai mewakili sentimen dan kehendak rakyat, maka pilihan yang tinggal adalah demonstrasi jalanan.
Di Malaysia, pilihan raya secara umumnya masih boleh dianggap sebagai bebas (free), walaupun terdapat beberapa tandatanya sama ada ia boleh dianggap adil (fair). Perkara-perkara seperti undi pos dan daftar pengundi yang kurang kemas serta penguatkuasaan peraturan pilihan raya yang tidak konsisten menjadi asas kritikan bahawa proses pilihan raya di Malaysia adalah kurang adil.
Bagaimanapun, berdasarkan pilihan raya 2008, yang mana parti pemerintah telah kalah di banyak kerusi dan negeri, pilihan raya di Malaysia boleh dikira masih bebas dan mempunyai potensi sebagai cara untuk rakyat menukar kerajaan. Jadi, di dalam aspek ini, perbezaan ini berbanding Mesir mungkin akan mengurangkan kebarangkalian protes jalanan besar-besaran berlaku di Malaysia sebagai salah satu kaedah untuk ‘regime change’.
Sekiranya terjadi atau meletusnya kebangkitan rakyat Malaysia, seperti yang terjadi di Mesir, apa pula faktor yang boleh membawa kepada kejayaan aspirasi rakyat ataupun sebaliknya, yakni kegagalan?Perkara paling ketara yang dapat diperhatikan sepanjang revolusi yang bermula pada 25 Januari 2011 di Mesir adalah kebijaksanaan dan disiplin golongan penentang rejim Mubarak, terutamanya Ikhwan Muslimin, dalam keengganan mereka untuk menjadi opportunis politik dan menggunakan gerakan protes rakyat tersebut sebagai satu cara atau vehicle untuk merebut kuasa politik.
Ini adalah disebabkan kesedaran dan pegangan di kalangan mereka bahawa perubahan atau reformasi adalah lebih penting dari kuasa atau jawatan politik semata-mata.
Di samping itu mereka sedar bahawa gerakan protes besar-besaran itu telah timbul secara spontan dan dianjur atau disusun oleh golongan muda yang tidak mempunyai apa-apa pertalian kepada mana-mana parti politik. Revolusi yang tercetus itu adalah bagaikan anak kecil yang mesti dibenarkan untuk membesar sendiri. Sekiranya Ikhwan atau mana-mana pertubuhan politik tergesa-gesa atau terlalu gopoh untuk mendakap anak kecil itu dan mendakwa anak kecil itu dia yang punya, sudah pastinya musuh-musuh revolusi akan membunuh anak kecil itu.
Di situlah terletaknya kelebihan parti-parti pembangkang di Mesir. Mereka tidak membenarkan cita-cita peribadi dan keinginan untuk kuasa politik mempengaruhi tindak tanduk mereka. Yang paling penting, reformasi atau revolusi dalam masyarakat mereka mesti terlebih dahulu diberi ruang dan peluang untuk wujud. Sekiranya dunia kagum atas keberanian dan kecekalan rakyat Mesir dalam berdemonstrasi beramai-ramai menumbangkan Mubarak, wajar juga dunia menyanjung kewarasan dan kebijaksanaan pertubuhan pembangkang Mesir dalam menangani pergolakan yang melanda negara mereka.
Persoalannya sekarang adakah terdapat barisan pembangkang yang sedemikian rupa di negara kita?
Mungkin untuk mencari jawapannya, perlu kita amati tindak-tanduk ketua pembangkang di Parlimen Malaysia yang juga pemimpin parti pembangkang, yakni Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepanjang karier politik beliau.
Beliau telah muncul sebagai seorang pemimpin pelajar ketika menjadi mahasiswa di Universiti Malaya. Jawatan yang dipegang olehnya sebagai presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya telah memberi beliau peluang untuk menganjur dan mengerah tenaga pelajar secara besar-besaran untuk berdemonstrasi pada tahun 1971 semasa lawatan Thanom Kittikachorn, perdana menteri Thailand, ke Kuala Lumpur.
Punca demonstrasi adalah penindasan rejim Kittikachorn ke atas orang Islam Patani yang menyemarakkan perjuangan pemisah di wilayah itu. Demonstrasi pelajar yang berlaku adalah antara yang terbesar pernah diadakan di Kuala Lumpur. Selepas demonstrasi itu, Anwar menjadi terkenal sebagai seorang pemimpin dan aktivis pelajar yang hebat.
Reputasi dan pengaruh beliau terus menyerlah apabila tunjuk perasaan mahasiswa besar-besaran berlaku lagi pada tahun 1974 untuk membantah dasar kerajaan terhadap golongan miskin. Punca demonstrasi adalah kebuluran yang dikatakan telah berlaku di daerah Baling, Kedah. Anwar telah dikenali pasti sebagai ketua demonstrasi tersebut dan ditangkap di bawah ISA.
Selepas dibebaskan dari tahanan ISA, Anwar menggunakan kemasyhuran beliau sebagai seorang pemimpin pelajar dan aktivis Islam untuk menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Dengan itu juga, reputasi beliau sebagai seorang pejuang Islam menyerlah dan ABIM muncul sebagai sebuah pressure group atau kumpulan desakan untuk terus mendapat perhatian kerajaan dan masyarakat umum.
Pada tahun 1982, Dr Mahathir Mohamad, dalam usahanya untuk menarik sokongan pergerakan Islam yang kini kuat pengaruhnya, telah memujuk Anwar untuk menyertai parti pemerintah iaitu Umno. Anwar bersetuju dan akhirnya pada 1993 berjaya menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.
Apabila diamati babak-babak di atas, Anwar adalah seorang yang bijak menggunakan peluang untuk memajukan karier politiknya. Sentimen dan pergolakan semasa digunakan oleh beliau untuk menonjolkan kepimpinannya. Teras perjuangan juga tidak terkecuali dan berubah-ubah demi menguatkan reputasi dan mengembang pengaruh serta jawatan – dari pejuang bahasa Melayu yang kuat bau idealogi nasionalisnya, kepada aktivis Islam anti-nasionalisma, dan balik kepada nasionalis semasa di dalam Umno.
Pada tahun 1998 ketika ekonomi negara dilanda krisis matawang, Anwar telah tercium peluang untuk menambah kuasa berasaskan ketidakpuasan umum terhadap pemerintahan Dr Mahathir. Pada tahun yang sama, gelombang reformasi dan kebangkitan rakyat Indonesia menentang rejim Suharto telah berjaya menumbangkan Suharto sebagai presiden republik itu.
Isu ‘Korupsi, Kronisme, Nepotisme’ adalah bahan gelombang reformasi di Indonesia dalam menamatkan pemerintahan Suharto. Anwar telah mengeksploitasi sentimen yang serupa dalam cubaan beliau untuk mengetepikan Dr Mahathir. Bagaimanapun percaturan Dr Mahathir lebih pantas dan Dr Mahathir telah membuang Anwar dari jawatan kerajaan dan parti.
Krisis politik yang menyusul selepas itu juga telah digunakan oleh Anwar untuk menonjolkan diri beliau sekali lagi sebagai seorang pejuang reformasi yang berani menentang Dr Mahathir. Beliau menjadi ikon gerakan reformasi apabila dipenjarakan pada September 1998.
Selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, Anwar terus dianggap sebagai pemimpin reformasi dan selepas pilihan raya 2008 dilihat sebagai pemimpin pembangkang yang telah berjaya membawa kemenangan besar kepada parti-parti pembangkang. Teras perjuangan beliau kali ini adalah politik kepelbagaian kaum di samping dikenali di peringkat antarabangsa sebagai seorang demokrat Islam.
Terkini, setelah melihat revolusi spontan yang berlaku di Tunisia dan Mesir, adalah jelas kelihatan pihak-pihak tertentu sedang giat mengekspoloitasi peristiwa-peristiwa tersebut untuk membentuk satu mindset di kalangan rakyat Malaysia bahawa pemerintahan negara sekarang ini adalah sama dengan rejim-rejim yang telah tumbang di negara-negara tersebut.
Setelah diamati karier politik Anwar Ibrahim, jawapan kini boleh diperolehi bagi soalan yang dikemukakan di atas: adakah tokoh politik pembangkang di Malaysia mempunyai cukup kebijaksanaan dan disiplin politik untuk tidak mengalah kepada nafsu gilakan kuasa dan political opportunism.Jawapannya adalah tidak. Rekod tindak-tanduk Anwar sepanjang karier politiknya menunjukkan beliau akan tidak teragak-agak untuk mengambil peluang dari kebangkitan rakyat untuk menghadapankan cita-cita peribadinya terlebih dahulu, tidak seperti Ikhwan di Mesir. Pendek kata sekiranya beliau adalah pemimpin pembangkang di Mesir pada 25 Januari 2011, revolusi rakyat akan berakhir dengan kekalahan dan kehampaan akibat sikap political opportunism beliau.
No comments:
Post a Comment