Friday, March 25, 2011

Menangani prejudis and stereotaip negatif kaum

Ramai antara kita sebenarnya tanpa disedari bersikap prejudis dan menaruh sterotaip negatif terhadap orang lain. Fenomena ini telah dibuktikan dalam banyak kajian dalam bidang psikologi sosial. Kajian di Amerika misalnya ada melaporkan hampir 80 peratus masyarakat kulit putih di sana tanpa disedari menaruh sikap prejudis terhadap masyarakat berkuit hitam. Sikap implisit ini tidak semestinya dizahirkan melalui perbuatan atau kata-kata secara terbuka, namun dalam situasi tertentu ianya tetap terserlah.

Di Malaysia, isu prejudis dan sterotaip kaum ini sering dianggap isu sensitif bukan sahaja di pentas awam, tapi juga di kalangan ahli-ahli akademik. Oleb sebab itu, tidak banyak kajian saintifik yang dilakukan untuk meninjau sejauh mana masyarakat pelbagai kaum di Malaysia menaruh sifat perjudis terhadap satu sama lain.

Taksub kepada identiti kaum  


Salah satu sebabnya adalah sikap kurang berhati-hati di kalangan ibubapa dan guru-guru. Sekiranya sejak dari kecil kita didedahkan dengan ungkapan-ungkapan negatif terhadap kaum lain samada di rumah ataupun di sekolah, lama-kelamaan ia menjadi sebati dengan pemikiran dan kelakuan kita.

Ungkapan seperti “kalau terjumpa orang ‘Keling’ dan seekor ular, bunuh orang ‘Keling’ itu dulu...??? sudah sekian lama disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain di kalangan orang Melayu. Pastinya, untuk mencapai wawasan bangsa Malaysia, 1Malaysia, atau apa saja istilah perpaduan antara kaum yang ada, ungkapan-ungkapan seperti ini perlu dinyahkan sama sekali dari muka bumi Malaysia ini.

Guru-guru sekolah pula perlulah lebih berhati-hati tatkala membincangkan sejarah negara. Perlu dibezakan antara fakta sejarah dan hujah-hujah peribadi yang tidak objektif. Pengalaman peribadi saya di sekolah berasrama penuh kerajaan yang komposisi pelajarnya lebih kurang 95 peratus pelajar-pelajar Melayu, guru-guru Melayu tanpa ragu-ragu menyatakan pendapat seperti “Tunku Abdul Rahman terlalu berlembut dengan golongan pendatang... sepatutnya setelah merdeka, mereka ini disuruh pulang ke negara asal???.

Satu lagi punca perkembangan prejudis ini adalah ketaksuban pada identiti kaum masing-masing. Bilamana identiti kaum itu terlalu kuat dan melampau, semangat identiti kebangsaan pasti tergugat. Inilah masalah pokok yang perlu dibincangkan secara terbuka dan diselami dengan teliti jalan penyelesaiannya.

Sejak awal 1980-an, di kalangan orang Melayu telah timbul kesedaran beragama yang begitu kuat. Dasar penerepan nilai-nilai Islam telah diperkenalkan di sektor awam, dan ramai ibubapa Melayu mula menekankan pendidikan agama bagi anak-anak mereka. Dalam tempoh yang sama, di kalangan orang-orang Cina usaha memartabatkan pendidikan dalam bahasa ibunda jelas berkembang dengan pesat.

Natijahnya, pelajar-pelajar Melayu lebih tertumpu di sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah agama, dan pelajar-pelajar Cina pula lebih tertumpu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina. Maka, di kalangan anak-anak muda Melayu dan Cina sekarang, majoritinya dibesarkan dalam suasana kurangnya pengalaman berinteraksi dengan kaum-kaum yang lain. Kurangnya interaksi, kuranglah persefahaman dan toleransi, dan hasilnya terbukulah sifat prejudis yang berasaskan stereotaip negatif yang tidak rasional.

Bagi ahli-ahli akademik, teori penyelesaiannya mudah dan ringkas. Untuk memupuk perpaduan dan menghapuskan prejudis antara kaum, perlu ada interaksi antara kaum yang lebih kerap dan yang lebih bermakna. Berteori memang mudah, namun praktikalnya bagaimana?
 

No comments: