Kadar perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Pendedahan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim baru-baru ini menunjukkan bahawa kebanyakkan kes pasangan bercerai adalah mereka yang usia perkahwinannya adalah lima tahun ke bawah.
Beliau turut mendedahkan bahawa salah satu punca utama peningkatan kes perceraian ialah disebabkan suami atau isteri sibuk meladeni ’pasangan maya’ masing-masing di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Sebenarnya, fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru. Lama sebelum adanya Facebook dan Twitter, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mempengaruhi rutin kehidupan rakyat negara ini apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996.
Ledakan ICT pada waktu itu menyebabkan ramai individu teruja dan ’lupa diri’. Golongan ini asyik masyuk dengan alam siber khususnya berborak di laman sembang atau chat room. Ada yang sanggup tidur di pejabat dengan alasan menyiapkan kerja walaupun hakikatnya ingin menggunakan kemudahan ICT untuk bersembang.
Medium baru ini menjadi tapak untuk masing-masing menjadi Mr. atau Mrs. Perfect. Menyorok di sebalik nama samaran (nickname). Sudah beranak pinak mengaku masih bujang. Si janda atau duda kembali dara dan teruna.
Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Di sisi positif, ada yang bertemu jodoh dan kekal bahagia. Manakala di sisi lain, perbualan di alam siber ini menjadi punca keretakan rumah tangga. Menjadikan statistik perceraian terus meningkat.
No comments:
Post a Comment