Friday, March 25, 2011

Tsunami Di Jepun?

Kini negara Jepun dan rakyatnya sedang melalui pasca gempa bumi dan tsunami terburuk negara itu dalam tempoh 140 tahun. Walaupun sudah lebih kurang 1 minggu ia berlaku, namun bagi mereka yang selamat, pengalaman berhadapan saat getir semasa bencana itu pasti memberi kesan dan sentiasa diingati sepanjang hayat mereka.

Apa tidaknya, kesan gempa bumi dan tsunami bukan sahaja telah menyebabkan mereka hilang tempat tinggal dan harta benda lain yang bernilai ratusan hingga jutaan Yen, tetapi juga kehilangan orang yang disayangi: ibu bapa, anak-anak, saudara-mara, sahabat, jiran dan kenalan.

Lebih membimbangkan, rakyat Jepun juga berhadapan dengan ancaman radiasi akibat letupan loji janakuasa nuklear di Daiichi, Fukushima. Kalau menurut pihak berkuasa Keselamatan Nuklear Perancis (ASN), Jepun kini dinilai pada skala 6/7 bagi kemalangan nuklear, iaitu kurang 1 mata berbanding kemalangan Chernobyl 1986 (7/7) dan berada 1 mata di atas tahap kemalangan di Pulau Three Mile, Pennsylvania 1979 (skala 5/7).

Mujurlah, ancaman radiasi Tahap 4 mengikut Skala Kejadian Radiologi dan Nuklear Antarabangsa hanya meliputi kawasan loji itu sahaja. Faktor cuaca di Jepun menyebabkan kesan radiasi tidak tersebar secara meluas. Malaysia setakat ini juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan tahap radiasi.
Pada peringkat pasca gempa bumi dan tsunami Jepun ketika ini, pelbagai pandangan dilontarkan sebagai rumusan kepada kejadian yang berlaku. Ada yang berpandangan bahawa bencana kali ini mempunyai kaitan dengan Fenomena Supermoon 19 Mac 2011akibat kelalaian negara itu melaksanakan pembangunan mesra alam dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai balasan kepada Jepun atas sebab tertentu. Namun apa yang pasti, semua itu adalah atas kehendak ALLAH SWT sebagai ujian dan juga peringatan kepada umat manusia. Cuma, dalam mempercayaai kekuasaan-NYA, janganlah pula ada di antara kita yang mengabaikan sensitiviti terhadap masyarakat umum, terutamanya mereka yang ketika ini sedang dilanda kesedihan dengan menjadikan bencana itu sebagai bahan gurauan.

No comments: