Friday, March 25, 2011

WikiLeaks mencelarukan imej Amerika Syarikat

Pendedahan sebuah laman web yang berpengkalan di Sweden mengenai maklumat penderaan dan pembunuhan masyarakat awam secara terperinci dalam serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq antara tahun 2003 hingga pertengahan 2010 menyebabkan negara kuasa besar itu tidak lagi dapat menyembunyikan keganasan. Amerika Syarikat terus dilihat sebagai sebuah negara yang penuh dengan paradox kerana sanggup menyembunyikan fakta sebenar sedangkan kepada rakytanya meletakkan prinsip kejujuran sebagai prinsip yang menjadi teras kemasyarakatan.
WikiLeaks, sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh Julian Assenge, seorang rakyat Australia pada bulan Jun lalu mengesahkan telah memperoleh hampir 400,000 halaman dokumen rahsia milik tentera dan sebahagiannya telah disiarkan mengaibkan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang penuh tipu muslihat demi mencapai hasratnya sebagai kuasa besar yang tidak boleh digugat. Jaringan pendedahan dokumen rahsia tentera selama 5 tahun menceroboh Iraq itu merupakan insiden kebocoran terbesar dalam sejarah dan mencabar kewibawaan Pentagon sebagai sebuah agensi pertahanan yang terbesar dan menyimpan rahsia yang selamat.
Dalam pendedahan tersebut, WikiLeaks turut menggunakan beberapa akhbar penting di Britain dan Perancis sehingga memberikan gambaran bahawa “pihak berkuasa Amerika Syarikat gagal menyiasat berates-ratus laporan penderaan, penyiksaan, rogol malah pembunuhan oleh polis dan askar Iraq. Keganasan askar-askar tersebut kerap kali terlepas daripada hukuman.”
Pendedahan terbaru oleh akhbar  The Guardian (London) pada hari Jumaat lalu (22/10) bahawa lebih 15,000 orang awam mati tanpa diketahui sebabnya manakala pegawai Amerika dan Britain kerap menafikan angka kematian di pihak awam. Pegawai Amerika dan Britain sentiasa menegaskan bahawa tiada laporan rasmi kematian orang awam, namun berdasarkan rekod yang disembunyikan dari pengetahuan umum menunjukkan  66,081 daripada 109,000 kematian bukanlah disebabkan oleh pertempuran.
Akhbar tersebut, The Guardian melaporkan bahawa, ‘banyak laporan penderaan tahanan disokong bukti perubatan, ‘menceritakan bagaimana tahanan dirantai, ditutup mata, diikat pergelangan tangan atau kaki dan digantung malah dirotan, ditumbuk, ditendang atau dikenakan kejutan elektrik. Enam laporan berakhir dengan kematian tahanan.
Akhbar itu menambah, WikiLeaks dipercayai mendapatkan arkib elektronik daripada sumber sama ketika ia mendedahkan 90,000 dokumen perang Afghanistan. Banyak dokumen sulit dari tempoh 2004 hingga 2009 mendedahkan dakwaan penderaan yang dilakukan pasukan keselamatan Iraq manakala yang lain menunjukkan bahawa tentera Amerika tidak berbuat apa-apa untuk menghalang penyiksaan itu.

No comments: