Bencana terburuk landa negara Matahari Terbit turut beri kesan pelaburan di Malaysia
KELMARIN, memori ngeri 2004 yang menghantui seluruh dunia kembali apabila Jepun pula ranap dilanda tsunami, kali ini dilaporkan bencana terburuk dalam tempoh 140 tahun.
Tujuh tahun selepas Acheh dan beberapa negara lagi, termasuk tanah air kita sendiri berdepan tragedi tsunami, apa yang berlaku di negara Matahari Terbit itu dikhuatiri memberi kesan lebih serius lagi, bukan setakat aspek sosial atau dari segi psikologi, tetapi juga ekonomi.
Dengan gegaran berukuran 8.9 pada skala Richter, kawasan timur laut Jepun berubah wajah ibarat dilanda garuda. Apa tidaknya, hempasan tsunami mencecah ketinggian 10 meter menyapu bersih apa saja yang berada dalam laluannya.
Pakar ekonomi antarabangsa meramalkan bencana itu akan memberi kesan kepada kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia itu yang kini perlu merangka semula pembangunan ekonominya secara meluas.
Tahun 2011 yang baru masuk bulan ketiga, nyata tidak banyak membawa berita gembira. Pergolakan dan perang saudara di Libya memburukkan suasana, ditambah pula perkembangan terbaru di Jepun.
Rasa khuatir pasti berganda jika mengambil kira ramalan pakar ekonomi kita, Prof Dr Barjoyai Bardai yang tidak pun berselindung untuk mengakui apa yang berlaku di Asia Barat dan utara Afrika pasti mengundang kesan negatif.
“Ketika krisis di Asia Barat, ramai yang bimbang. Kekacauan di Libya menyebabkan harga minyak naik dan kesannya akan turut menyebabkan kos sara hidup meningkat. Kini berlaku pula bencana di Jepun, sudah tentu kesan besar akan dirasai ekonomi dunia dan tempiasnya juga akan turut dirasai negara kita.
“Fenomena itu mampu meningkatkan kadar inflasi serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.
Jangkaan itu berikutan status Jepun antara pengeluar terbesar produk elektronik dan pada masa sama, ia juga antara gergasi dalam industri automotif.
“Kita belum tahu berapa besar kesan tsunami kepada ekonomi Jepun dan juga dunia kerana bencana itu berlaku petang Jumaat (kelmarin). Kita akan dapat tahu keputusannya dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.
Dr Barjoyai menyifatkan keadaan ekonomi global sebenarnya sedia ada dalam keadaan ‘cemas’ dengan ekonomi Amerika Syarikat (AS) juga dijangka mula merosot menjelang akhir tahun ini disebabkan pelbagai faktor semasa dunia.
“Jika ini berterusan, ia juga dijangka memberi kesan kepada ekonomi Malaysia dan mungkin memperlahankan pertumbuhan ekonomi kita tahun depan. Dunia masih bergantung kepada mata wang AS, tetapi ia pula semakin lemah dan boleh memberi kesan serius kepada ekonomi global,” tambahnya.
Kelmarin, harga saham di Bursa Malaysia mencatatkan penurunan mendadak pada akhir dagangan berikutan tekanan jualan berlarutan yang dicetuskan kebimbangan pelabur berhubung krisis di Libya dan gempa bumi di Jepun.
Pelabur juga mengambil sikap berhati-hati sambil memantau perkembangan di Arab Saudi yang mana aktivis dijangka mengadakan tunjuk perasaan dengan risikonya mampu mendorong kejatuhan harga saham.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyatakan Malaysia akan turut terkena tempias dari segi ekonomi berikutan bencana di Jepun kerana negara itu rakan dagang agak besar selain banyak melabur di negara ini.
Seorang lagi pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid yang turut bersetuju dengan pendapat Dr Barjoyai, berkata keadaan di Libya dan Jepun ketika ini memang akan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi Malaysia dan dunia.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu membuat perancangan pelaburan strategik bagi memastikan ekonomi negara sentiasa mencatatkan perkembangan positif.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, dilaporkan berkata harga saham di Bursa Malaysia mungkin didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan kerana pelabur mengambil sikap berhati-hati ekoran kebimbangan terhadap krisis Libya dan jangkaan kemelesetan ekonomi susulan bencana di Jepun.
“Kesan tsunami di Jepun dengan Yen dan Nikkei susut ke paras rendah dalam masa dua minggu serta ketidaktentuan harga minyak di Arab Saudi dengan minyak mentah mencecah paras tinggi dalam masa 27 bulan pada AS$120, bersedia membawa kepada penurunan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment