APABILA terjadinya kebangkitan rakyat Mesir menentang Hosni  Mubarak secara besar-besaran di Mesir, di Malaysia pula kedua-dua belah  pihak iaitu parti yang memerintah dan pembangkang pastinya sama ada  secara senyap-senyap atau terang-terang membuat perbandingan dan  bertanya terdapatkah apa-apa persamaan ataupun perbezaan di antara  kedua-dua buah negara.
 Soalan pokok yang mahu dicari jawapan: Bolehkah apa yang terjadi di Mesir berlaku di Malaysia?
 Secara pandangan mata kasar, beberapa persamaan memang ada.
 Pertama, persamaan paling jelas adalah kedua-dua buah negara  mempunyai penduduk majoriti beragama Islam. Bagaimanapun kalau  berdasarkan laporan media yang tidak sering putus, faktor agama  semata-mata bukanlah yang paling penting dalam mencetus kebangkitan  rakyat Mesir.
 Para penunjuk perasaan terdiri daripada  orang Islam dan juga  Kristian Koptik. Oleh itu, persamaan dari segi agama ini mungkin boleh  dianggap sebagai tidak begitu relevan dalam usaha untuk menjawab soalan  pokok yang dinyatakan di atas.
 Kedua, tempoh pemerintahan rejim yang menjadi sasaran protes. Di sini  ada persamaan dan juga perbezaan. Di Mesir, usia rejim Mubarak telah  menjangkau tiga dekad sementara di Malaysia pula tampuk pemerintahan  negara telah dipegang selama lebih lima dekad oleh parti yang sama iaitu  Barisan Nasional/Perikatan, yakni sejak negara merdeka.
 Sekiranya dipandang dari sudut ini, memanglah ada persamaannya.  Bagaimanapun, di Malaysia orang yang memegang jawatan ketua eksekutif,  iaitu perdana menteri, telah bertukar sebanyak lima kali dan tidak  seperti Mubarak di Mesir yang terus menerus memerintah negaranya selama  hampir 30 tahun.
 Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, baru dua  tahun memegang jawatan tersebut. Ini adalah satu perbezaan. Kemarahan  dan kemuakan rakyat Mesir dapat ditumpukan kepada keperibadian Mubarak  kerana dia telah begitu lama memerintah negara itu dan boleh dianggap  punca segala kelemahan dan kesusahan masyarakat Mesir.
 Adalah menjadi ‘open question’ ataupun soalan tiada berjawapan buat  masa ini sama ada perkara yang sama boleh dikatakan terhadap Najib.
 Ketiga, kepincangan masyarakat yang menjadi bahan dan sebab musabab  protes. Di dalam hal ini, terdapat banyak persamaan di antara Mesir dan  Malaysia.
 Korupsi dan penyelewengan kuasa adalah isu yang mendapat perhatian  dan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat, baik di Mesir, baik di negara  ini. Dan ia bukanlah perkara baru dalam mencetus kemarahan rakyat.  Amalan korupsi memang terdapat di kedua-dua buah negara. Janji  pemerintah untuk membasmi korupsi secara serius jika tidak dikotakan  pasti akan menambahkan kebencian rakyat. Apatah lagi sekiranya yang  mengamal rasuah dan kronisma adalah pemerintah itu sendiri.
 Di Mesir, institusi-institusi negara telah disalahgunakan untuk  menjadi alat politik bagi memperkuatkan cengkaman kuasa rejim Mubarak.  Badan-badan kerajaan seperti polis dan pasukan risikan dan keselamatan  dalam negeri digunakan untuk menekan dan menindas mana-mana golongan dan  anasir yang berani bersuara menentang rejim. Media massa di bawah kuasa  rasmi rejim dan juga swasta dikawal untuk membendung suara dan mesej  pihak yang membangkang kerajaan.
 Di dalam aspek ini, sudah pasti di Malaysia, ada juga yang akan  beranggapan dari segi korupsi tiada bezanya dengan Mesir. Cuma sejauh  manakah amalan itu berlaku di Malaysia jika dibandingkan dengan Mesir.
 Di Mesir, kadar pengangguran lepasan universiti yang tinggi juga  telah dikatakan sebagai salah satu faktor penting dalam memulakan  kebangkitan rakyat. Ini adalah kerana anak-anak muda merupakan golongan  utama dan awal dalam menganggotai protes jalanan yang telah berlaku.  Ekonomi negara itu yang tidak berkembang dengan kadar yang membolehkan  peluang pekerjaan bertambah dan mencukupi bagi para lepasan universiti  telah menjadi asas bagi ‘unfulfilled expectations’ atau harapan yang  tidak dipenuhi di kalangan anak muda lepasan universiti.
 Ada pemerhati yang menganggap faktor ini lebih penting dari  kemiskinan rakyat dalam mencetus revolusi jalanan di Mesir. ‘Unfulfilled  expectations’ di kalangan generasi muda terpelajar ini memberikan  kesimpulan kepada mereka bahawa sekiranya perubahan atau reformasi  masyarakat hendak dihidupkan, syarat utama yang perlu dipenuhi adalah  perubahan rejim atau ‘regime change’.Adakah mirip-miripnya juga di Malaysia? Pengangguran lepasan  universiti memang ada dan kebelakangan ini dikatakan seramai lebih  60,000 siswazah telah tidak mendapat pekerjaan, satu angka yang boleh  juga dianggap tinggi. Bagaimanapun, adakah ini satu angka yang sudah  mencecah tahap kritikal yang mana ‘unfulfilled expectations’ akan  menjadi bahan untuk satu kebangkitan rakyat sama seperti apa yang telah  dilihat di Mesir? Setakat ini, tiada tanda-tanda yang mengiyakan. 
Selepas berbicara tentang persamaan yang mungkin ada di antara Mesir dan Malaysia, apa pula perbezaan yang dapat dikenalpasti?
 Di Mesir, pilihan raya yang telah dijalankan rata-rata dipersoal dan  dicurigai kredibilitinya, terutama sekali yang telah diadakan pada  November dan Disember 2010. Di dalam pilihan raya itu, Mubarak telah  diumumkan mendapat 97% undi sokongan dari para pengundi Mesir, satu  keputusan yang tidak dipercayai oleh rakyat Mesir sendiri. Oleh sebab  proses pilihan raya dianggap tidak boleh dipakai sebagai mewakili  sentimen dan kehendak rakyat, maka pilihan yang tinggal adalah  demonstrasi jalanan.
 Di Malaysia, pilihan raya secara umumnya masih boleh dianggap sebagai  bebas (free), walaupun terdapat beberapa tandatanya sama ada ia boleh  dianggap adil (fair). Perkara-perkara seperti undi pos dan daftar  pengundi yang kurang kemas serta penguatkuasaan peraturan pilihan raya  yang tidak konsisten menjadi asas kritikan bahawa proses pilihan raya di  Malaysia adalah kurang adil.
 Bagaimanapun, berdasarkan pilihan raya 2008, yang mana parti  pemerintah telah kalah di banyak kerusi dan negeri, pilihan raya di  Malaysia boleh dikira masih bebas dan mempunyai potensi sebagai cara  untuk rakyat menukar kerajaan. Jadi, di dalam aspek ini, perbezaan ini  berbanding Mesir mungkin akan mengurangkan kebarangkalian protes jalanan  besar-besaran berlaku di Malaysia sebagai salah satu kaedah untuk  ‘regime change’.
 Sekiranya terjadi atau meletusnya kebangkitan rakyat Malaysia,  seperti yang terjadi di Mesir, apa pula faktor yang boleh membawa kepada  kejayaan aspirasi rakyat ataupun sebaliknya, yakni kegagalan?Perkara paling ketara yang dapat diperhatikan sepanjang revolusi yang  bermula pada 25 Januari 2011 di Mesir adalah kebijaksanaan dan disiplin  golongan penentang rejim Mubarak, terutamanya Ikhwan Muslimin, dalam  keengganan mereka untuk menjadi opportunis politik dan menggunakan  gerakan protes rakyat tersebut sebagai satu cara atau vehicle untuk merebut kuasa politik. 
Ini adalah disebabkan kesedaran dan pegangan di kalangan mereka  bahawa perubahan atau reformasi adalah lebih penting dari kuasa atau  jawatan politik semata-mata.
 Di samping itu mereka sedar bahawa gerakan protes besar-besaran itu  telah timbul secara spontan dan dianjur atau disusun oleh golongan muda  yang tidak mempunyai apa-apa pertalian kepada mana-mana parti politik.  Revolusi yang tercetus itu adalah bagaikan anak kecil yang mesti  dibenarkan untuk membesar sendiri. Sekiranya Ikhwan atau mana-mana  pertubuhan politik tergesa-gesa atau terlalu gopoh untuk mendakap anak  kecil itu dan mendakwa anak kecil itu dia yang punya, sudah pastinya  musuh-musuh revolusi akan membunuh anak kecil itu.
 Di situlah terletaknya kelebihan parti-parti pembangkang di Mesir.  Mereka tidak membenarkan cita-cita peribadi dan keinginan untuk kuasa  politik mempengaruhi tindak tanduk mereka. Yang paling penting,  reformasi atau revolusi dalam masyarakat mereka mesti terlebih dahulu  diberi ruang dan peluang untuk wujud. Sekiranya dunia kagum atas  keberanian dan kecekalan rakyat Mesir dalam berdemonstrasi beramai-ramai  menumbangkan Mubarak, wajar juga dunia menyanjung kewarasan dan  kebijaksanaan pertubuhan pembangkang Mesir dalam menangani pergolakan  yang melanda negara mereka.
 Persoalannya sekarang adakah terdapat barisan pembangkang yang sedemikian rupa di negara kita?
 Mungkin untuk mencari jawapannya, perlu kita amati tindak-tanduk  ketua pembangkang di Parlimen Malaysia yang juga pemimpin parti  pembangkang, yakni Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepanjang karier politik  beliau.
 Beliau telah muncul sebagai seorang pemimpin pelajar ketika menjadi  mahasiswa di Universiti Malaya. Jawatan yang dipegang olehnya sebagai  presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya telah memberi beliau  peluang untuk menganjur dan mengerah tenaga pelajar secara besar-besaran  untuk berdemonstrasi pada tahun 1971 semasa lawatan Thanom  Kittikachorn, perdana menteri Thailand, ke Kuala Lumpur.
 Punca demonstrasi adalah penindasan rejim Kittikachorn ke atas orang  Islam Patani yang menyemarakkan perjuangan pemisah di wilayah itu.  Demonstrasi pelajar yang berlaku adalah antara yang terbesar pernah  diadakan di Kuala Lumpur. Selepas demonstrasi itu, Anwar menjadi  terkenal sebagai seorang pemimpin dan aktivis pelajar yang hebat.
 Reputasi dan pengaruh beliau terus menyerlah apabila tunjuk perasaan  mahasiswa besar-besaran berlaku lagi pada tahun 1974 untuk membantah  dasar kerajaan terhadap golongan miskin. Punca demonstrasi adalah  kebuluran yang dikatakan telah berlaku di daerah Baling, Kedah. Anwar  telah dikenali pasti sebagai ketua demonstrasi tersebut dan ditangkap di  bawah ISA.
 Selepas dibebaskan dari tahanan ISA, Anwar menggunakan kemasyhuran  beliau sebagai seorang pemimpin pelajar dan aktivis Islam untuk  menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Dengan itu juga,  reputasi beliau sebagai seorang pejuang Islam menyerlah dan ABIM muncul  sebagai sebuah pressure group atau kumpulan desakan untuk terus mendapat perhatian kerajaan dan masyarakat umum.
 Pada tahun 1982, Dr Mahathir Mohamad,  dalam usahanya untuk menarik  sokongan pergerakan Islam yang kini kuat pengaruhnya, telah memujuk  Anwar untuk menyertai parti pemerintah iaitu Umno. Anwar bersetuju dan  akhirnya pada 1993 berjaya menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan  perdana menteri.
 Apabila diamati babak-babak di atas, Anwar adalah seorang yang bijak  menggunakan peluang untuk memajukan karier politiknya. Sentimen dan  pergolakan semasa digunakan oleh beliau untuk menonjolkan kepimpinannya.  Teras perjuangan juga tidak terkecuali dan berubah-ubah demi menguatkan  reputasi dan mengembang pengaruh serta jawatan – dari pejuang bahasa  Melayu yang kuat bau idealogi nasionalisnya, kepada aktivis Islam  anti-nasionalisma, dan balik kepada nasionalis semasa di dalam Umno.
 Pada tahun 1998 ketika ekonomi negara dilanda krisis matawang, Anwar  telah tercium peluang untuk menambah kuasa berasaskan ketidakpuasan umum  terhadap pemerintahan Dr Mahathir. Pada tahun yang sama, gelombang  reformasi dan kebangkitan rakyat Indonesia menentang rejim Suharto telah  berjaya menumbangkan Suharto sebagai presiden republik itu.
 Isu ‘Korupsi, Kronisme, Nepotisme’ adalah bahan gelombang reformasi  di Indonesia dalam menamatkan pemerintahan Suharto. Anwar telah  mengeksploitasi sentimen yang serupa dalam cubaan beliau untuk  mengetepikan Dr Mahathir. Bagaimanapun percaturan Dr Mahathir lebih  pantas dan Dr Mahathir telah membuang Anwar dari jawatan kerajaan dan  parti.
 Krisis politik yang menyusul selepas itu juga telah digunakan oleh  Anwar untuk menonjolkan diri beliau sekali lagi sebagai seorang pejuang  reformasi yang berani menentang Dr Mahathir. Beliau menjadi ikon gerakan  reformasi apabila dipenjarakan pada September 1998.
 Selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, Anwar terus dianggap  sebagai pemimpin reformasi dan selepas pilihan raya 2008 dilihat  sebagai pemimpin pembangkang yang telah berjaya membawa kemenangan besar  kepada parti-parti pembangkang. Teras perjuangan beliau kali ini adalah  politik kepelbagaian kaum di samping dikenali di peringkat antarabangsa  sebagai seorang demokrat Islam.
 Terkini, setelah melihat revolusi spontan yang berlaku di Tunisia dan  Mesir, adalah jelas kelihatan pihak-pihak tertentu sedang giat  mengekspoloitasi peristiwa-peristiwa tersebut untuk membentuk satu  mindset di kalangan rakyat Malaysia bahawa pemerintahan negara sekarang  ini adalah sama dengan rejim-rejim yang telah tumbang di negara-negara  tersebut.
 Setelah diamati karier politik Anwar Ibrahim, jawapan kini boleh  diperolehi bagi soalan yang dikemukakan di atas: adakah tokoh politik  pembangkang di Malaysia mempunyai cukup kebijaksanaan dan disiplin  politik untuk tidak mengalah kepada nafsu gilakan kuasa dan political opportunism.Jawapannya adalah tidak. Rekod tindak-tanduk Anwar sepanjang karier  politiknya menunjukkan beliau akan tidak teragak-agak untuk mengambil  peluang dari kebangkitan rakyat untuk menghadapankan cita-cita  peribadinya terlebih dahulu, tidak seperti Ikhwan di Mesir. Pendek kata  sekiranya beliau adalah pemimpin pembangkang di Mesir pada 25 Januari  2011, revolusi rakyat akan berakhir dengan kekalahan dan kehampaan  akibat sikap political opportunism beliau.
 
No comments:
Post a Comment