Monday, April 18, 2011

FENOMENA PARASITE SINGLES

Berdasarkan Bancian Kebangsaan 2005 Jepun mempunyai seramai 127,285,653 orang penduduk dengan penduduk berusia dalam lingkungan lima puluhan merangkumi bilangan paling ramai iaitu seramai 19,051,663 orang.1 Ini diikuti oleh penduduk berusia dalam lingkungan tiga puluhan dengan bilangan seramai 18,490,638 orang. Situasi ini adalah disebabkan oleh fenomena yang dipanggil baby boom2 yang telah berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh seratus tahun kebelakangan ini. Baby boom fasa pertama telah berlaku pada tahun 1947 hingga 1949, manakala baby boom fasa kedua pula berlaku pada tahun 1971 hingga 1974. Mereka yang dilahirkan sewaktu baby boom fasa pertama berusia dalam lingkungan 58 hingga 60 tahun dan mereka yang lahir dalam tempoh masa baby boom fasa kedua berusia dalam lingkungan 34 hingga 37 tahun pada tahun bancian dilakukan. Dengan itu, kita dapat lihat majoriti penduduk Jepun kini berusia dalam lingkungan lewat lima puluhan dan lewat tiga puluhan.

Penduduk berusia dalam lingkungan enam puluhan pula menduduki tempat ketiga tertinggi bilangannya dengan bilangan seramai 15,977,239 orang. Ini diikuti oleh penduduk berusia dalam lingkungan empat puluhan dengan bilangan seramai 15,806,457 orang. Jepun sememangnya dikenali sebagai sebuah bangsa yang sedang menghadapi masalah koureika syakai iaitu secara literalnya bermaksud masyarakat yang sedang melalui proses penuaan. Majoriti masyarakat Jepun kini sudah mencecah usia lima puluhan dan Jepun kekurangan generasi pelapis untuk masa hadapan apabila bilangan penduduk berusia lingkungan dua puluhan hanya seramai 15,630,647 orang. Lebih memburukkan keadaan lagi, bilangan penduduk berusia 1 hingga 19 tahun hanya berjumlah 24,089,614 orang. Jepun sememangnya memerlukan lebih ramai lagi bilangan pelapis untuk memikul tanggungjawab meneruskan aktiviti ekonomi bangsa dan negaranya.
 
Walaupun bilangan generasi pelapis semakin mengecil, namun fenomena sosial yang berlaku di Jepun kebelakangan ini menunjukkan negara matahari terbit tersebut sedang menghadapi masalah dalam melahirkan generasi pelapis yang berwibawa untuk mendokong ekonomi bangsa dan negaranya. Istilah-istilah seperti Freeter, NEET, Hikikomori dan Parasite Singles semakin sering didengari apabila memperkatakan tentang golongan generasi muda di Jepun. Kewujudan golongan Freeter, NEET, Hikikomori dan Parasite Singles merupakan antara fenomena sosial yang berlaku di kalangan golongan muda di Jepun kebelakangan ini yang dianggap boleh membawa kesan negatif ke atas masa depan sosio-ekonomi negara matahari terbit tersebut.
Freeter adalah istilah bahasa Jepun yang digunakan untuk menerangkan tentang golongan individu berusia dalam lingkungan 15 hingga 34 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Istilah ini mula digunakan dalam tahun 1987 atau 1988 di mana bilangannya pada waktu itu sekitar 0.8 juta orang dan telah meningkat kepada lebih kurang 2 juta orang pada tahun 2002.3 Golongan ini tidak memulakan karier sebaik sahaja tamat persekolahan atau pengajian di universiti, sebaliknya hanya melakukan pekerjaan separuh masa yang tidak memerlukan kebolehan-kebolehan tertentu. Pekerjaan yang dilakukan oleh golongan Freeter ini biasanya hanya menawarkan gaji yang rendah seperti juruwang di kedai serba guna, jurujual di pasar raya ataupun pelayan di restoran makanan segera. Golongan Freeter juga popular sebagai individu-individu yang memilih untuk tidak bekerja sepenuh masa kerana ingin memenuhi kehidupan sebenar dengan melakukan perkara-perkara yang benar-benar diminati atau disukai.

NEET pula ialah singkatan untuk frasa bahasa Inggeris “Not currently engaged in Employment, Education, or Training”. Ia menerangkan tentang golongan individu yang berusia di antara 15 hingga 34 tahun yang tidak bekerja, tidak mencari pekerjaan, tidak bersekolah atau mendapatkan pendidikan dan tidak menghadiri mana-mana latihan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh kerajaan Jepun, terdapat sejumlah 850,000 orang golongan NEET di Jepun pada tahun 2002.4 Selain daripada Freeter dan NEET, terdapat juga masalah sosial lain seperti Hikikomori di mana individu mengasingkan diri mereka dari masyarakat luar dan tidak menjalankan tanggungjawab terhadap bangsa dan negara sebagaimana yang sepatutnya.

Satu lagi fenomena sosial baru di Jepun, yang sering dibincangkan kebelakangan ini ialah fenomena Parasite Singles. Apakah yang dimaksudkan dengan Parasite Singles? Sejauh manakah perkembangan fenomena Parasite Singles ini di Jepun? Artikel ini akan merungkai fenomena Parasite Singles yang berlaku di Jepun dengan melihat kepada faktor-faktor kewujudannya serta implikasi daripada kewujudan fenomena tersebut.

Situasi Parasite Singles di Jepun

Menurut Bancian Kebangsaan 1995, dianggarkan seramai 10 juta orang Parasite Singles di Jepun dengan peratusan lelaki dan wanita hampir sama iaitu 50-50. 12 Jadual 1 dan 2 menunjukkan bilangan Parasite Singles di Jepun berdasarkan Bancian Kebangsaan yang telah dilaksanakan pada tahun 2000 dan 2005. Daripada jadual tersebut dapat dilihat bahawa tidak jauh perbezaan antara bilangan Parasite Singles lelaki dan wanita. Bilangan Parasite Singles lelaki pada tahun 2000 adalah seramai 5.95 juta orang, manakala wanita seramai 5.54 juta orang. Bagi tahun 2005 pula, bilangan Parasite Singles lelaki adalah seramai 5.60 juta orang, manakala wanita pula seramai 5.21 juta orang.

Jadual tersebut juga menunjukkan bilangan Parasite Singles seramai 11.48 juta orang pada tahun 2000 dan 10.81 juta orang pada tahun 2005. Angka ini menunjukkan peningkatan daripada bilangan Parasite Singles yang dikenalpasti pada tahun 1980 iaitu seramai 8.17 juta orang. Dari segi peratusan, ia merangkumi sebanyak 29.5% daripada populasi penduduk berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun. Pada tahun 2003, bilangan Parasite Singles di Jepun terus meningkat kepada 12.11 juta orang. Bilangan ini merangkumi 45.4% daripada populasi penduduk berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun dan 10% daripada jumlah populasi penduduk Jepun.13

Jika dinilai dari segi bilangan penduduk berusia 20 hingga 34 tahun yang hanya merangkumi lebih kurang 20% daripada jumlah populasi dan hampir separuh daripada mereka adalah Parasite Singles, Jepun sememangnya sedang menghadapi masalah yang serius. Ini kerana kebanyakan penduduk Jepun kini sudah berusia dan bilangan generasi pelapis semakin berkurangan. Dianggarkan bilangan Parasite Singles pada tahun 2010 adalah seramai 11.83 juta orang iaitu bersamaan 36.2% daripada jumlah populasi. Anggaran bilangan Parasite Singles pada tahun 2015 pula ialah seramai 11.30 juta orang iaitu bersamaan dengan 38.7% daripada jumlah populasi. Pada tahun 2020 pula, dijangka bilangan Parasite Singles adalah seramai 11.13 juta orang iaitu bersamaan 41.5% daripada jumlah populasi ketika itu. Dari segi bilangan didapati nilainya semakin mengecil, tetapi dari segi peratusan nilai ini semakin meningkat disebabkan bilangan penduduk Jepun yang semakin berkurangan akibat penurunan peratus kelahiran.

Definisi

Sebelum kita melihat kepada faktor-faktor serta implikasi kewujudan fenomena Parasite Singles di Jepun, adalah penting untuk kita faham apakah yang dimaksudkan dengan Parasite Singles dan siapakah golongan yang digelar Parasite Singles tersebut. Istilah Parasite Singles mula digunakan oleh Masahiro Yamada, Profesor dari Universiti Tokyo Gakugei dalam bukunya yang berjudul Parasaito Shinguru no Jidai (Zaman Parasite Singles) yang diterbitkan pada tahun 1999. Menurut Yamada, Parasite Singles merujuk kepada golongan pemuda lelaki dan wanita yang berterusan tinggal bersama ibu bapa walaupun sudah dewasa, dan menikmati kehidupan bebas dan mewah sebagai orang bujang.5 Individu Parasite Singles telah selesai melalui zaman persekolahan atau pengajian di universiti serta sudah mencapai usia dewasa tetapi masih lagi tinggal di rumah ibu bapa dan hidup bergantung kepada mereka.

Istilah Parasite diberikan kepada individu-individu yang berumur di antara 20 hingga 34 tahun dan menumpang atau bergantung hidup kepada ibubapa dari segi makanan, pakaian dan tempat tinggal. Istilah single pula digunakan untuk menerangkan status mereka yang belum berumahtangga.
 
Oleh kerana mereka boleh berjimat dari segi kos asas seperti sewa rumah, bil api dan air, serta tidak perlu menyimpan wang untuk masa hadapan, mereka cenderung untuk berbelanja mewah seperti membeli barang-barang berjenama dan melancong ke luar negara.6 Media Jepun biasanya menyimpulkan bahawa golongan Parasite Singles adalah simbol kehancuran sosial kesan daripada kehidupan materialistik yang dilalui sepanjang era bubble economy7 dalam tahun-tahun 1980-an. Walau bagaimanapun, Orenstein8, seorang penulis dan penyunting majalah berkaitan isu-isu wanita menyangkal bahawa kesimpulan yang dibuat oleh media tersebut tidak kukuh. Beliau menegaskan bahawa, walaupun golongan Parasite Singles terutamanya wanita dilihat sebagai gemar dengan kehidupan materialistik, tidak bermakna mereka membawa kepada kehancuran sosial. Hujahnya, golongan Parasite Singles wanita tidak bergantung kepada kaum lelaki dari segi kewangan dan dapat dilihat mereka seolah-olah sedang menikmati sepenuhnya kehidupan bujang mereka. Golongan ini tidak mahu mengorbankan kehidupan bebas yang sedang dinikmati dengan berumahtangga. Ia mungkin juga satu bentuk protes secara tidak langsung ke atas amalan tanggungjawab keluarga9 yang menjadi tradisi turun temurun dalam kehidupan masyarakat Jepun.

Menurut Kadokura, pensyarah di Universiti Doshisha, bilangan Parasite Singles di sesebuah negara boleh diukur berdasarkan tiga langkah perkiraan. Langkah pertama ialah mengenalpasti bilangan penduduk berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun. Kemudian, daripada bilangan tersebut, kenalpasti peratusan individu yang belum berumahtangga. Akhir sekali, kenalpasti peratusan individu yang tinggal bersama ibu bapa. Dengan menggunakan cara ini, kita akan dapat mengukur bilangan individu yang berumur antara 20 hingga 34 tahun dan belum berkahwin serta masih tinggal bersama ibu bapa

No comments: